Thursday, 21 February 2008

::_Anok Kelate Ingat Pese Tok Guru_::

Ungkapan ajaib Tok Guru Nik Aziz 'beri gula kacau, beri kain pakai, beri lembu sembelih dan beri kertas undi pangkah bulan' kepada rakyatnya sejak dulu lagi sememangnya 'dipegang' kuat orang-orang Kelantan lebih-lebih lagi apabila menghadapi pilihan raya.Walaupun pelbagai tawaran cuba diberikan oleh pihak Umno/BN bagi memenangi hati rakyat Kelantan agar rakyat negeri itu boleh memberi laluan kepada mereka untuk memerintah ternyata rakyat negeri itu tidak mudah dimakan pujuk rayu.
Amanat Tuan Guru kepada rakyatnya tidak akan luntur dengan tawaran-tawaran menarik Umno/BN baik hendak menjadikan negeri Serambi Mekah itu sebagai Pusat Ketamadunan Islam yang terbilang jika mereka memerintah.
Tawaran itu dilontarkan oleh Dato' Seri Najib Tun Razak, bukan itu sahaja beliau juga ingin membina sebuah masjid yang bernilai RM2.1 juta di Guchil, Kuala Krai.
Najib harus ingat, rakyat Kelantan mempunyai 'chemistry' yang kukuh dengan Tok Guru, mereka tidak pandang pada projek-projek yang bernilai jutaan ringgit, yang penting pemerintahan beliau dalam membela kebajikan sejak dulu lagi.
Tawaran PAS kali ini 'Negara Berkebajikan' sudah lama dipraktikkan di Kelantan dan rakyatnya agak selesa biarpun hidup secara sederhana.
Bahkan Najib Tun Razak dengan sombong dan angkuhnya menyeru rakyat negeri itu agar menjadikan tahun 2008 sebagai tahun terakhir PAS memerintah.
Agaknya Najib kena kaji sedalam-dalamnya mentaliti rakyat negeri Kelantan sebelum bercita-cita menawan rakyat negeri itu.
Malahan, Najib juga meminta rakyat negeri itu supaya menghentikan budaya 'beri pitih ambil, undi belum tentu'.
Yang terkini pula, Timbalan Pengerusi Pemuda Umno Khairy Jamaludin memujuk anak jati Kelantan yang berada di Lembah Klang berpakat balik mengundi pada pilihan raya tidak lama lagi.
Dengan menubuhkan Bilik Gerakan "Pakat Kelik Ngundi" (pakat balik mengundi), pergerakan itu turut memperkenalkan slogan "Pade Doh" dalam loghat Kelantan yang bermaksud cukuplah 18 tahun Pas memerintah negeri terbabit.
Sebenarnya yang paling tepat slogan 'pade doh' itu ditujukan kepada kerajaan Umno/BN yang bertahun-tahun memerintah negara ini, akhirnya rakyat yang menjadi mangsa dengan berbagai-bagai masalah termasuklah jenayah meningkat, harga barang melambung, kenaikan minyak, projek mega yang memberi keuntungan kepada kroni-kroni.
Khairy juga kena tahu, anak jati 'Kelate' yang berada di Lembah Klang bukan mudah untuk memangkah BN, sifat kenegerian mereka sangat kuat sehinggakan mereka masih berpegang teguh kepada pesanan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.
Puluhan ribu anak 'Kelate' yang belum menukar tempat mengundi biarpun mereka bekerja atau menetap di Lembah Klang, mungkin mempunyai agenda tersendiri sama ada mereka sayang dan masih memerlukan khidmat Menteri Besar mereka yang mempunyai keperibadian yang disegani.
Jika mereka tidak memerlukan Menteri Besar seperti itu sudah tentu mereka tidak perlu fikir untuk pulang ke negeri asal untuk mengundi, lebih baik mengundi di tempat mereka bekerja.
Justeru, jika demokrasi dijaga dengan baik dan tidak dibawa pengundi haram, tidak diugut maka tidak ada sebab rakyat Kelantan boleh menerima orang lain.

No comments: