Wednesday 13 February 2008

::_Bukan Kelantan Sajo Tapi...._::

Selain mendakwa mampu mempertahankan Kelantan, Pas turut berhasrat menakluk semula Terengganu dan menawan Kedah pada pilihan raya umum ke-12 ini.
Sambil menyifatkan peluang parti itu lebih baik pada pilihan raya umum kali ini berbanding 2004, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas turut memasang impian lebih besar iaitu memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di setiap negeri mampu dimenangi sekurang-kurangnya oleh seorang calon mereka.
“Hasrat Pas dalam pilihan raya umum kali ini ialah memastikan kita dapat mempertahankan Kelantan, mengambil balik Terengganu dan menawan Kedah, selain setiap negeri ada kerusi yang kita menang.
“Pas yakin akan menawan kembali Terengganu, tetapi bukan mudah kerana kita sekarang berada dalam demokrasi yang padangnya tidak rata,” katanya.
Beliau yang juga bekas Menteri Besar Terengganu sewaktu kerajaan Pas memerintah negeri itu berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Dialog Bersama Pemimpin Pas di sebuah hotel, di sini malam tadi.
Pada pilihan raya umum ke-11, Pas memenangi 36 kerusi DUN dan tujuh kerusi Parlimen di seluruh negara dan kekal memerintah Kelantan selepas memenangi 24 kerusi DUN negeri itu.
Menurut Abdul Hadi, pada masa yang sama, pakatan pembangkang termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga dijangka memberi tumpuan kepada beberapa kerusi di Selangor, Pulau Pinang dan Perak.
Beliau berkata, pihaknya mempunyai keyakinan untuk menghadapi pilihan raya umum kali ini dan ketika ini senarai semua calon parti itu sudah diserahkan kepadanya dan diluluskan Majlis Syura Ulama Pas.
Katanya, Pas turut mengharapkan undi daripada pengundi bukan Melayu bagi menawan sesuatu kawasan.
“Banyak undi daripada kaum bukan Melayu menjadi undi penentu seperti di Kedah misalnya, undi kaum Melayu kita sudah menang pada pilihan raya lalu, tetapi kita masih memerlukan undi daripada kaum lain,” katanya.
Mengenai persediaan Pas di Johor, Abdul Hadi berkata, parti itu akan memastikan setiap calon Pas atau PKR akan bertanding di setiap kawasan yang dipertandingkan.
Sementara itu di KUALA LUMPUR, Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa berkata, parti pembangkang itu yakin majoriti rakyat Terengganu akan menolak Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-12 kerana mereka sudah bosan dengan pembangunan ‘kosmetik’ di negeri itu.
Katanya, pembangunan ‘kosmetik’ itu tidak memberi manfaat secara langsung kepada rakyat sebaliknya hanya dinikmati golongan tertentu.
“Saya yakin rakyat Terengganu boleh membezakan corak pemerintahan BN dengan Pas sebelum ini.
“Pas telah membawa pembangunan rakyat melalui penghapusan cukai pintu, tol Jambatan Sultan Mahmud dan menyelesaikan masalah pengagihan tanah,” katanya.

No comments: