Monday 18 February 2008

::_Tan Sri Khalid Ibrahim calon PKR Bandar Tun Razak _::

Spekulasi siapa bakal menjadi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) parlimen Bandar Tun Razak, Kulala Lumpur terjawab. Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mengumumkan pada majlis ceramah perdana anjuran parti itu di Taman Bukit Anggerik Cheras malam tadi.
Pengumuman Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai calon PKR Bandar Tun Razak diberi tepukan gemuruh lebih 4000 hadirin yang membanjiri tapak ceramah yang diadakan malam tadi.
"Kita perlu menghantar ahli parlimen yang berwibawa, yang boleh membawa isu rakyat di parlimen. PKR menawarkan Tan Sri Khalid Ibrahim yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang ekonomi" kata Anwar.
Anwar turut menawarkan kepada rakyat pendidikan percuma dari peringkat rendah sehingga universiri.
Selain itu harga minyak akan diturunkan sekiranya rakyat memberi mandat pembangkang.
"Saya punyai lapan tahun pengalaman sebagai menteri kewangan, dan selama itu juga harga minyak kekal RM1.10. Ketika itu Petronas hanya untung RM30 bilion. Kini keuntungan selepas cukai Petronas hampir RM80 bilion. Salahkah kita ambil RM10 bilion untuk menambah subsidi agar harga minyak dapat diturunkan bagi mengurangkan beban yang ditanggung rakyat? Kita masih ada RM70 bilion lagi yang boleh digunakan untuk kos pendidikan dan lain-lain," katanya lagi.
Turut memberi ucapan pada malam tadi ialah Naib Presiden PKR Azmin Ali. Sebelum ini spekulasi kuat mengatakan Azmin akan bertanding di parlimen tersebut.
Azmin turut menyentuh isu pendidikan dan mengatakan menteri pelajaran sekarang asyik membawa kerisnya ke hulu dan ke hilir.
"Seorang menteri pelajaran tidak sepatutnya sibuk dengan kerisnya sepanjang masa. Sepatutnya dia membawa laptop macam saya. Mungkin saya lebih layak menjadi Menteri Pelajaran selepas ini." tambah Azmin yang kemudiannya mendapat tepukan gemuruh dari para hadirin.
Parlimen Bandar Tun Razak diwakili oleh MCA, Datuk Tan Chai Ho yang juga Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri yang memenangi kerusi tersebut pada Pilihanraya Umum ke-11 tahun 2004 mengalahkan calon PKR Rosli Ibrahim @ Mamat dengan majoriti 17,527 undi.
Sebelum ini Tan Chai Ho menggesa pengundi di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak supaya terus memberikan sokongan padu kepada calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum kali ini.
Beliau berkata persediaan yang rapi telah dijalankan di kawasan ini termasuk jentera pilihan raya yang telah dipertingkatkan untuk beroperasi seratus peratus selepas hari penamaan calon nanti.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan beliau akan dicalonkan semula bertanding di kawasan parlimen itu Tan berkata "Susah nak jawab kerana senarai nama calon belum diumumkan oleh Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting, tapi saya hanya dimaklumkan supaya membuat persedian untuk pilihan raya bagi kawasan ini (Bandar Tun Razak)," katanya.
Bagaimanapun Tan berkata beliau melihat respons penduduk setempat sangat menggalakkan dan mereka masih berharap beliau dicalonkan semula di kawasan parlimen itu.
Dengan pengumuman tersebut sah Khalid Ibrahim akan bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak.

No comments: