Sunday, 17 February 2008

::_Panduan Ceramah PRU_::

Muqaddimah .
Seseorang tidak akan berubah melainkan setelah ada maklumat . Kita tidak akan membeli satu barang melainkan setelah kita mengetahui khasiat dan kebaikannya. Ini menggambarkan betapa pentingnya penerangan dalam suatu hal untuk meyakinkan seseorang bagi mendapat sesuatu .
Menyampaikan ceramah seumpama hendak menjual sesuatu produk kepada orang lain , produk yang baik dan berkualiti sekalipun , kalau tidak diterangkan dengan teknik dan strategi yang berkesan pasti tidak ada pembelinya , malahan produk yang tidak berkualiti pula , kalau disampaikan, dipromosi dan dikempen dengan hebat dan baik pasti akan menarik orang ramai untuk membelinya.
Orang yang memainkan peranan penting dalam mempromosikan produk ialah jurujual itu sendiri . Bagi menarik orang ramai membeli produk tersebut , jurujual akan menggunakan kepetahan bercakap , penampilan dirinya yang kemas , bahasa yang cukup menawan dan berbagai – bagai aksi lagi , disertai pula dengan demontrasi barangan . Sudah pasti cara ini akan menarik minat orang ramai membelinya .
Begitulah para penceramah , produk yang kita hendak pasarkan ialah Islam , PAS dan calon PAS . Produk yang akan kita pasarkan ini memerlukan teknik , taktik dan strategi yang sesuai dengan suasana setempat , situasi semasa , budaya dan sebagainya .
Dalam Islam , Rasulullah saw. Merupakan role model yang terbaik dalam menerangkan kepada manusia akan ajaran yang dibawa oleh baginda pada waktu itu yang dianggap dagang ( asing ) . Baginda menggunakan pelbagai kaedah dan pendekatan antaranya tamsil alam sekitar , logik , pujukan , tawaran , amaran , lisanul hal , khutbah dan lain – lain lagi .
Konsep Penerangan .
· Segala kegiatan penerangan menggunakan apa jua media yang ada hendaklah mengandungi ciri – ciri berikut :
· Penerangan sebagai I’LAM , iaitu proses untuk menyalurkan maklumat ( to inform ) mengenai fakta , sesuatu yang baru , menarik atau bagaimana sesuatu perubahan itu wujud dan berlaku .
· Penerangan sebagai TA’LIM , bermatlamat ke arah memberi pengajaran dan pelajaran untuk mempengaruhi ( to influence ) bagi mengubah fikiran dan pendirian atau untuk menggerakkan mereka agar aktif .
· Penerangan IRSYAD , bermatlamat ke arah membimbing dan tunjuk ajar. Suatu tugas untuk inspirasi ( to Inspire ) tentang kebaikan ( makruf ) supaya dihayati dan kemungkaran supaya dihindari .
· Penerangan sebagai DAKWAH , bermatlamat ke arah menyeru dan mengajak kepada perubahan sikap serta bertindak membangun yang makruf dan meruntuhkan yang mungkar.
Kesimpulannya , konsep penerangan ialah untuk menerangkan dasar perjuangan untuk menarik sokongan orang ramai kepada perjuangan PAS ( Basyiiran wa Naziiran ) . Konsep penerangan bukan sahaja melalui mulut tetapi juga tingkah laku ( Lisaanul Hal ) , penulisan dan edaran risalah . Yang penting ialah penceramah mesti menjadi orang yang berjaya menarik orang lain untuk bersama dengan perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS .
Banyak bidang penerangan yang belum diterokai secara meluas oleh PAS antaranya seperti risalah , kain rentang , laman web dan sebagainya. Janganlah kita hanya mengharapkan ceramah umum semata – mata kerana kita kekurangan penceramah yang boleh menarik orang ramai untuk datang ke program ceramah yang dianjur . Justeru itu , untuk menampung kekurangan ini hendaklah kita pelbagaikan program penerangan selain daripada rapat umum yang sememangnya menjadi agenda penerangan yang berkesan .
Ceramah Dalam Konteks Kempen Pilihanraya .
Dalam musim pilihanraya , ceramah yang dianjurkan agak berbeza sedikit dengan ceramah sebelum musim pilihanraya . Sebelum pilihanraya jentera penerangan boleh menganjurkan ceramah besar – besaran , kehadhiran audien pula mengikut populariti penceramah yang diundang. Mereka juga datang dari seluruh pelusuk tempat . Ulasan terhadap isu lebih menyeluruh , dari isu tempatan , nasional hinggalah kepada isu antarabangsa .
Sedang ceramah yang dianjurkan dalam musim pilihanraya hanya tertumpu kepada pengundi sasaran sahaja . Lantaran itu , pendekatan ceramah yang paling sesuai di musim pilihanraya ialah ceramah kelompok yang diadakan dari rumah ke rumah atau seumpamanya .
Tujuan Ceramah .
Ceramah yang dianjurkan oleh PAS bertujuan :
· Menjelaskan konsep Islam yang syumul sebagaimana yang diperjuangkan oleh PAS selama ini.
· Menjelaskan dasar parti dan membetulkan pandangan dan sangkaan negatif terhadap PAS .
· Mengulas dan mengupas isu semasa dan menjawab segala tohmahan terhadap Islam dan PAS .
Dalam musim pilihanraya , tujuan utama ceramah ialah menjelaskan kepada pengundi mengapa pengundi perlu memilih atau mengundi PAS . Di sinilah para penceramah PAS perlu menggunakan segala kebijaksanaan dan keupayaan menyampaikan ceramah untuk mengajak , merayu dan memujuk pengundi melakukan perubahan dalam pilihanraya dengan mengundi calon PAS .
Persiapan Asasi dan Etika Penceramah PAS .
· Ikhlas kerana Allah swt. · Memahami agama Allah swt. · Memiliki ilmu dan fakta yang tepat · Memiliki Qudwah Hasanah · Sabar dan Tabah · Lemah lembut dan penyayang · Tawadhuk dan merendah diri · Manis muka dan Indah tutur bicara · Menjaga Akhlak , adab sopan dan tatasusila · Sentiasa senyum dan mesra · Berpakaian menarik , kemas serta sesuai dengan suasana setempat · Menjaga nama baik parti · Menyampaikan ucapan dengan tertib , beradab dan sopan · Tidak mengeluarkan perkataan dan kenyataan yang menimbulkan fitnah · Tidak kasar dalam ucapan dan tindakan . · Elakkan maki hamun dan caci nista tanpa asas· Menepati janji dan waktu · Senantiasa bermurah hati · Menjaga nama baik parti
Pendekatan Penyampaian Dalam Ceramah .
Memilih Isu yang Sesuai .
Para penceramah perlu menyenaraikan isu yang ingin diulas dan disampaikan dalam ceramahnya. Pemilihan isu mestilah sesuai dan boleh membangkitkan minat pengundi untuk mendengar . Tidak semua isu boleh membangkitkan kesedaran kepada pengundi setempat walaupun isu tersebut dianggap besar dan penting seperti isu ekonomi , pembaziran wang rakyat dalam projek mega dan sebagainya.
Adakala isu yang dianggap kecil dan remeh tetapi kalau diolah dengan baik dan berkesan , ianya boleh mengubah minda rakyat. Sebab itu para penceramah mesti menguasai dan memahami isu semasa . Isu tempatan yang melibatkan kebajikan rakyat wajar diberi fokus dalam ceramah pilihanraya seperti isu kemiskinan , kenaikan harga barang dan sebagainya . Penceramah jangan ghairah mengulas isu besar sehingga lupa isu tempatan yang pengundi sendiri terlibat dengan isu tersebut.
Kemukakan Tawaran PAS .
Penceramah PAS sewajarnya tidak lupa untuk menjelaskan tawaran PAS kepada rakyat sebagaimana yang termaktub di dalam manifesto PAS jika rakyat memberi mandat kepada PAS untuk memerintah. Melalui pendekatan ini , penceramah mestilah terlebih dahulu memahami kandungan manifesto PAS .
Menampilkan Kelebihan Calon PAS .
Penceramah mestilah memperkenalkan calon PAS dengan menampilkan keperibadiannya , keupayaan dan kemampuannya menjadi wakil rakyat . Tonjolkan kelebihan calon secara benar dan adil .
Menonjolkan Kejayaan Kerajaan PAS di Kelantan.
Keupayaan PAS dan kemampuannya memerintah , memimpin dan mentadbir negeri Kelantan selama 17 tahun melalui amanah dan mandat rakyat mestilah dikemukakan kepada pengundi sebagai menjawab tohmahan kononnya PAS tidak boleh memerintah sekaligus menjadi perbandingan antara kerajaan PAS dan kerajaan UMNO.
Mendedahkan Kelemahan dan Ketidakupayaan Kerajaan BN.
Pendedahan dibuat berasaskan fakta bukan fitnah. Ianya bertujuan agar rakyat tidak terpedaya dengan keburukan Kerajaan BN yang sering berselindung disebalik momokan pembangunan dan umpan material .
Mengemukakan Hujjah Berasaskan Nas dan Fakta .
Kekuatan hujjah adalah kelebihan utama Pas dalam menghadapi UMNO yang kaya dengan tipu helah . Ayat – ayat suci al Quran dan Hadis menjadi sumber tulen perjuangan PAS yang tidak boleh ditinggalkan sepanjang kempen atau dakwah PAS kepada pengundi .
Apa yang Perlu dielak oleh Penceramah .
Menyentuh isu – isu Sensitif .
Penceramah selayaknya berhati – hati mengungkap kata agar tidak menyinggung perasaan pengundi. Masa singkat sepanjang tempoh berkempen tentu sahaja kita tidak mampu menjelaskan isu yang sensitif dan kontraversi . Adalah wajar penceramah memilih isu yang mewujudkan kebersamaan kita dengan pengundi dan penyokong.
Menggunakan Bahasa yang kesat dan Kasar .
Penceramah adalah pendakwah . Uslub mendidik , membimbing dan menasihati adalah lebih baik dan lebih mendekatkan pengundi kepada risalah perjuangan kita berbanding ucapan yang sarat dengan maki hamun .
Memperbodohkan Pengundi .
Hargai mereka dan jangan sekali – kali memperkecilkan mereka sekalipun mereka dalam pilihanraya yang lalu tidak mengundi PAS. Berikan harapan kepada mereka dan masa untuk mereka berfikir dan membuat perubahan . Merendah dirilah dihadapan mereka , bahawa kita yang gagal menyampaikan maklumat yang jelas kepada mereka atau maklumat kita terhalang sehingga mereka tidak mengundi PAS.
Menghukum Pengundi .
Sekali lagi penceramah adalah pendakwah bukan penghukum. Justeru itu banyakkan pendekatan memberi nasihat , galakan dan motivasi untuk mereka menerima perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS . Jangan menjatuhkan hukum seperti berdosa , sesat atau kafir kepada pengundi.
Penutup .
Iringi setiap ucapan atau ceramah dengan doa dan munajat agar Allah mengurniakan petunjuk dan kekuatan kepada kita dan pengundi agar satu perubahan ( dari bathil kepada haq , dari jahiliyyah kepada Islam , dari kufur kepada Iman ) dapat dilakukan .
Jauhi maksiat atau mungkar sebaliknya tingkatkan prestasi taqwa , taat dan ubudiyyah kita kepada Allah swt. Serta hiasi diri dengan akhlak mahmudah dan imej mesra rakyat atau mesra pengundi .
Oleh Ustaz Nasaruddin Tantawi.

No comments: