Saturday 16 February 2008

::_Munajak Rakyat Kelate!!_::

Ketika Barisan Nasional dan Umno masih lagi terkial-kial bagi menggapai impian menawan Kelantan, namun awal pagi tadi lebih 10,000 rakyat negeri ini bermunajat kepada Allah bagi menggagalkan rancangan BN.
Program 'Munajat Rakyat Kelantan Bersama Tok Guru' diadakan di Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke-IV Kota Bharu bermula jam 4 pagi tadi.
Ia dimulakan dengan solat tahajut enam rakaat diimamkan Ustaz Hussin Ibrahim Masri dari Pondok Lubuk Tapah Pasir Mas. Beliau juga merupakan Bendahari Dewan Ulamak PAS Kelantan.
Biar pun ketika orang lain masih lagi enak dibuai mimpi namun rakyat Kelantan tidak mahu ketinggalan bersama bermunajat kepada Allah bagi mempertahankan kerajaan di bawah ulama.
Kedinginan suasana pagi dengan solat di atas hamparan sejadah di bawah langit terbuka tidak menghalang rakyat Kelantan untuk menyatakan iltizam mereka berdepan dengan pihak lawan pada pilihan raya ini.
Bukan hanya orang dewasa yang hadir, sebaliknya anak-anak kecil turut bersama ibu bapa biar pun angin sopoi-sopoi bahasa menyelimuti tubuh dengan hawa dingin.
Selepas solat tahajut orang ramai yang hadir bermunajat dengan membesarkan nama-nama Allah swt sebagai empunya segala kehidupan di langit dan bumi.
Munajat yang dipimpin Ustaz Hussin ada kalanya dilakukan sambil berdiri sehingga suara yang begitu nyaring itu membelah keheningan awal pagi Bandar Kota Bharu Bandar Raya Islam.
Selepas itu diadakan solat hajat dengan diimamkan anggota jawatankuasa Dewan Ulama PAS Kelantan, Ustaz Nik Abdul Kadir Nik Mohammad.
Suasana menjadi semakin terasa apabila doa yang dibaca Ustaz Nik Abdul Kadir diselangi dengan nada sebak membuatkan ribuan jemaah turut rasa terkedu.
Sebelum masuk waktu Subuh diadakan solat witir tiga rakaat. Ketika itu kenderaan-kenderaan terutamanya bas ekspress yang sampai ke Kota Bharu melalui Jalan Mahmood bergerak perlahan, memerhati ribuan manusia berketayap dan bertelekung putih sedang bermunajat.
Suasana seperti itu tidak pernah disaksikan di tempat lain.
Kemudian solat Subuh diimamkan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Hadir pada program itu pemimpin-pemimpin dan pendokong gerakan Islam dari seluruh Kelantan.
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Kelantan, Ustaz Abdullah Abdul Razak berkata, program serupa akan diadakan di tiga tempat berasingan selepas ini iaitu di Pasir Puteh, Tanah Merah dan Kuala Krai.
Di Pasir Puteh akan diadakan pada 18 Febuari ini bertempat di Padang Majlis Daerah Pasir Puteh bermula 8.00 malam, manakala di Kuala Krai dan Tanah Merah belum lagi ditetapkan tarikhnya.
Selepas solat, Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyampaikan kuliah sehingga jam 7.15 pagi. Kepuasan jelas terpancar di wajah-wajah pendokong gerakan Islam.
Jalan raya menghala ke luar dari kawasan Dataran Stadium menjadi sesak seketika selepas itu.

No comments: